28 Sep 2012

MULIAKAN DIRIMU DENGAN TAQWA SETANDING MUTIARA ZABARJAD

0 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya share perkongsian ni dari blog seorang shbt. Saya rasa post ini memang sesuai untuk kaum muslimah. Semoga kita dapat menandingi Mutiara Zabarjad

MULIAKAN DIRIMU DENGAN TAQWA SETANDING MUTIARA ZABARJAD,,

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Muslim, "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah."

Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata.
Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan.
Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya.

Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah SWT adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah SWT.
Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.

Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya.

Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah.
Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya.
Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat ke-24 yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.

Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan Allah SWT.

Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,

"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." - Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.

Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya hatta namanya sekalipun.

Wajahnya bukan aurat tetapi ada kalanya ia menjadi aurat,
Dalam mazhab syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah an-Nur.
Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya.

Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat.

Wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya.

Mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook dan lain-lain.

Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat.

Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah SWT.

"Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya." (Surah Al-Ahzab, 33)

Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi.Pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib AS.
Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.

Nabi Musa AS telah mengambil alih tugas mereka.

Apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa AS dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa AS ke rumahnya.

Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum.

Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.

Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).

Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina.

Berbual-bual di telefon atau SMS di antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.

Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."

Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut.

Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?

Maka, labuhkanlah tudungmu.

Ketahuilah bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah SAW,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang telah menegurnya, "Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?"

Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, lalu beliau berkata, "Aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah SWT."

Malangnya hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam; bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya.

Saudariku, Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan.
Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya.
Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan.
Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas.

Saudariku,Hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan tidak punya apa-apa.

Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja.

Matanglah dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya.

Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah SWT di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah SWT, nescaya kau akan hilang segalanya.

Saudariku,Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,

"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"

Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu.

Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja.

Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.


  Photobucket _______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

22 Sep 2012

Karenah Anak Kecil : Bersediakah kita?

0 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم


Dari bilik saya terdengar jeritan kakak saya memarahi anaknya. Kuat benar suaranya. Kemudian saya terdengar anaknya menangis. Ibunya masih meninggikan suara meyuruhnya berjanji tidak buat lagi perkara tersebut. Saya sendiri kecut mendengarnya. Tapi yang anehnya, anaknya tetap mahu dengan ibunya yang 'bekeng' tu. Selepas itu, saya melihat anak saudara saya dah berbaik-baik dengan ibunya. Dalam hati saya berfikir, anak-anak sekarang perlu kena jerit kuat-kuat ke baru nak dengar cakap?

Sebenarnya saya sedang menjaga dua orang anak kakak saya di pahang. Sorang 4 tahun dan sorang lagi 1 tahun, dua-dua lelaki. Sebetulnya saya sudah biasa menjaga anak-anak kecil sebab memang selalu di'tempah' oleh kakak-kakak bile tiba je cuti sekolah dulu. Even baby yang beberapa hari baru lahir pun saya pernah jaga. Bagi saya semua tu tak ada masalah.

Tapi kali ini rasanya berbeza sedikit. Kalau dulu saya pernah jaga anak kakak saya yang bekerja sebagai guru. Jadi kul 2 pm lebih dah sampai kat rumah. Tapi sekarang kakak dan abang ipar saya bekerja dengan swasta. Kakak saya pukul 7 pagi dah keluar dan dekat pukul 6 pm baru balik. Tapi memandangkan officenya berhampiran dengan rumah, waktu rehat tengahari dia balik la sekejap. Abang ipar saya tak payah cakapla, pukul 7 pm lebih baru sampai kat rumah sebab tempat kerjanya agak jauh.

Hari ni saya telah tewas dengan kesabaran. Abangnya sangat nakal selalu ganggu adiknya yang kecil tu. Saya pun tak reti dah nak cakap macamana. Barulah saya faham mengapa kakak saya tengking-tengking macam tu. Sebabnya dia tidak dengar jika kita cakap baik-baik. Bukan setakat adiknya, saya pun sakit juga kena penangan ultramannya tu. Ada sekali tu dia lipat adiknya dengan kaki, apalagi adiknya jatuh ke bawah dan sebelum tu dahinya terhantuk meja dulu sebelum jatuh ke bawah. Tapi masa tu anak saudara saya tu dalam jagaan ibunya. Kalau depan ibunya pun boleh buat macam tu apalagi kat belakang.

Hari ini, buat pertama kalinya saya hilang sabar. Saya memarahi abangnya sebab dia mengacau adiknya. Kebetulan pergelangan saya terseliuh ditambah lagi penat nak melayan kerenah abangnya yang tak mahu mendengar kata, saya jadi kurang sabar. Tapi yang tragisnya saya pula yang menangis, sebab kesian tengok mukanya yang 'innocent' tu. Sebab tu la saya tak suka marah-marah apatah lagi dengan budak-budak sebab saya tahu saya yang akan menangis dulu. Memang macam ni, tak tahu kenapa.

Tetapi bila fikir-fikir balik saya teringat akan ibu saya yang berada di kelantan. Agaknya bagaimanalah ibu saya menahan rasa membesarkan kami sepuluh beradik? Saya akui yang saya selalu je kena marah dan rotan masa kecil-kecil dulu(nakal kecik-kecik dulu). Mungkinkah juga ibu saya juga menahan tangisan bila memarahi dan merotan saya. Tapi saya kagum dengan ibu saya, kerana dia telah memanusiakan saya. Cuma saya selalu fikir, saya juga mahu jadi seperti ibu saya.

Rupa-rupanya bukan senang mahu menjaga anak. Ya, bila kita jumpa mana-mana anak kecil, kita suka untuk bermain atau memeluknya. Waktu itu semuanya indah, tetapi bila bertemu dengan realiti sebenar, barulah kita tahu betapa susahnya ntuk menjaga anak-anak kecil ni. Dan cuba kita tanyakan pada diri kita, sudahkah kita bersedia untuk memikul tanggungjawab ini. Bila sudah berkahwin, kita bukan sahaja jadi seorang isteri kepada seorang suami, tetapi kita juga menjadi ibu kepada anak-anaknya serta menantu pada keluarganya.

Apapun saya rasa bersyukur sebab Allah bagi peluang untuk saya merasai pengalaman menjaga anak-anak kecil. Walaupun penat, saya tak kisah sangat sebab anak saudara saya yang umur setahun tu, telatahnya selalu je menghiburkan hati. Mungkin Allah mahu tunjukkan gambaran kepada saya bila masuk alam pekerjaan dalam masa yang sama sudah bekeluarga. Sedikit sebanyak saya turut mepersiapkan diri saya untuk masa hadapan(walaupun lambat lagi).

Walau apa pun, buat para ibu carilah cara yang terbaik dalam mendidik anak-anak. Cara tersebut mestilah berlandaskan al-Quran dan sunnah. Proses didikan semasa kecil sangat penting dalam pembentukan akhlak anak-anak. Dan sebetulnya proses itu sepatutnya bermula daripada kita lagi, kerana rahim yang ada dalam badan kita ni la yang akan melahirkan generasi soleh dan solehah. InsyaAllah. (:

[maaf, entry panjang]

  Photobucket _______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

17 Sep 2012

Cinta Tinta Musafir

2 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


[ini hanyalah conteng-conteng saja]

Hampir dua bulan lamanya saya tidak menjenguk ke laman blog ni. Barangkali sudah bersawang. Selepas tamat pengajian saya di UTM dua bulan lepas saya berada di kampung. Jadi kemudahan internet tu tak dapatla. Sepanjang dua bulan ni rasanya pelbagai cerita ingin saya sampaikan tetapi sekarang masa saya dicemburui oleh dua orang anak saudara saya. Jadi babysitter pada dua orang anak kakak saya yang tak berapa nak 'baby'.Hee..

Tapi bukan itu yang saya ingin ceritakan di sini(yang tu akan diceritakan di post yang lain). Selama saya membuka laman blog saya ni, tidak ramai yang tahu siapa saya. Hanya segelintir dari sahabat saya yang diberitahu. Saya rasa tidak penting pun untuk mengetahui siapa penulis blog tersebut dan sebenarnya tidak suka jika penulisan kita dinilai atas individu semata-mata.

Tapi sekarang saya dah tak kisah. Saya bukannya femes pun nak menguar-uarkan ni blog saya.hee. Kalau ada sahabat yang tahu, harapan saya semoga sedikit sebanyak penulisan saya ini boleh memberi manfaat kepada orang lain di kala mereka mencari ayat-ayat motivasi yang menyatu dengan jiwa mereka. siapa tahu kan?

Sebenarnya ini blog ke dua saya. Blog saya yang pertama Permata Yang Dicari. Blog tersebut ada banyak masalah jadi setelah bertukar banyak link akhirnya saya memindahkan post2 dari blog tu ke akaun blog saya yang baru, Musafir Cinta Ilahi. Tetapi blog tu masih belum di delete supaya pembaca lama senang refer link ke blog saya yang baru ni.

Sejujurnya saya amat suka menulis. Kerana tulisan salah satu bahasa saya. Kalau saya tidak dapat memujuk seseorang yang tengah berduka, saya berharap dari jauh tulisan saya ini dapat membalut hatinya dengan izin Allah. Begitu juga jika seseorang sedang mencari-cari kata-kata semangat atau perangsang ketika bertemu dengan putus asa, saya berharap agar Allah menyentuh hatinya dengan tulisan saya ini.

Saya banyak mengambil inspirasi daripada pemerhatian di sekeliling saya. Kadang-kadang tulisan yang saya coretkan untuk insan-insan yang mengalami masalah yang dekat dengan saya. Mungkin mereka tidak menyedarinya betapa dekatnya bait-bait kata tulisan saya dengan mereka. Inilah cara saya. Penulisan ini sudah sebati dalam diri saya. Jadi saya tidak mahu tinggalkannya.

Saya bukanlah seorang ustazah atau pelajar jurusan agama atau jauh sekali faqih dalam agama. Saya sendiri masih merangkak-rangkak dalam menimba ilmu Allah. Banyak perkara yang masih saya tak tahu dan perlu belajar. Jadi jika ada penulisan saya yang tersalah atau tersilap, jangan segan silu untuk menegur. Manusia itu kan tidak sempurna, jadi wajarlah sifat 'ter' tu ada dalam diri manusia. ^^

Lebih kurang sebulan lagi, saya akan graduate dalam bidang sains kimia di universiti teknologi malaysia,skudai. Result saya tidak gempak mana pun, tetapi saya tetap bersyukur dengan apa yang saya dapat. Di kesempatan ini juga saya ingin merakam tahniah buat sahabat-sahabat saya yang melanjutkan pengajian ke peringkat master dan phD. Mereka ni yang mantop2 belaka.hee.Harapan saya semoga Allah permudahkan jalan selepas ini. Tolong doakan saya juga (:

p/s. terasa ingin berkelana ke negeri sabah, sarawak bah..

hmm..sedih rasanya bila ada orang yang menghina kekasih hati saya,Rasulullah s.a.w melalui Innocence of Muslims. Mereka tidak henti-henti menghina umat Islam. Tunggulah pambalasan daripada Allah. 


  Photobucket _______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________