5 Oct 2011

~*~ Usah Kecewa, Allah sentiasa Menolongmu ~*~


بسم الله الرحمن الرحيم 


Kelihatan seorang pemuda mengorak langkah perlahan-lahan di atas padang hijau sambil rambutnya dibiarkan beralun-alun ditiup angin. Di tangan kanannya kelihatan benda lembut yang berwarna putih. Mungkin kopiah. Riak wajahnya tenang, setenang air di laut. Bibirnya bergerak-gerak, seakan-akan menutur sesuatu. Zikir mungkin! Pemuda itu berjalan lagi di bawah teduhan langit Yang Maha Esa. Barangkali sedang menikmati indahnya alam ciptaan Allah swt.

Sedang dia berjalan-jalan, langkahnya tiba-tiba terhenti di sebuah pokok yang agak rendang. Yang menariknya di bawah pokok itu terdapat seorang lelaki yang memakai baju sekolah sedang bergumam sendirian. Mungkin itu yang menarik minat pemuda itu untuk mara ke situ. Lalu pemuda itu menghulurkan salam tanda sapaan.


Pemuda : Assalamualaikum wbt adik..(pemuda itu memaniskan mukanya)

Pelajar itu mendongak ke arah pemuda itu sebentar cuma, kemudian dia menundukkan wajahnya tanpa menjawab salam yang dihulurkan. Tubir matanya merah, sisa tangisnya jelas kelihatan di pipi.  Pemuda itu sempat melihat di hadapan pelajar itu terdapat skrip keputusan peperiksaan SPM. Mungkin keputusannya kurang baik. Pemuda itu seakan faham kondisi pelajar lelaki tersebut.

Pemuda : Boleh abang duduk sini?

Pertanyaan pemuda itu masih tidak terjawab. Lalu pemuda itu mengambil tempat di sebelah pelajar tersebut tanpa menunggu keizinan budak tersebut.

Pemuda : Kecewa dengan result ye??

Bersahaja pemuda itu melontarkan soalan. Dia sengaja berbuat demikian supaya pelajar tadi menjadi responsif. Pelajar itu memandangnya.

Pelajar : Bukan! Kecewa dengan Tuhan!

Owh, fahamlah pemuda itu bahawa pelajar tadi menyalahkan Allah kerana tidak dapat keputusan cemerlang. Masalah besar ni jika tidak diperbetulkan.

Pelajar : Saya bermati-matian belajar sebelum exam. Saya fokus sepenuhnya pada pelajaran. Tapi kenapa ini yang saya dapat?! Sedang kawan-kawan saya yang bermain-main dapat lagi cemerlang. Kenapa???!! Tidak cukup lagikah usaha saya selama ini! Kenapa Allah tidak mahu menolong saya!!

Pemuda itu mendengar tiap luahan pelajar tersebut. Kemudian dia tersenyum.

Pelajar : Kenapa abang senyum? Kalau abang nak persendakan saya baik abang pergi dari sini(raut mukanya seakan marah)

Pemuda : Adik ni kelakarlah. (bibirnya tidak lekang dengan senyuman)


Pelajar : Tak guna cakap dengan abang. Saya tengah bengang dengan result, boleh pulak abang kata saya kelakar. (kata-kata pelajar tersebut kian kurang manis)


Pemuda : Adikk...sedapnya bahasa(senyum lagi)..Tak la, adik cakap yang Allah tidak mahu menolong adik bukankah kelakar tu..


Pelajar : Lar..apa yang kelakarnya, saya boleh kira dengan jari berapa kali je Allah tolong saya. Abang tak kan faham perasaan saya.(tiba-tiba nada pelajar itu berubah menjadi sebak)

Pemuda : Adik, nak tanya? Adik datang sini siapa yang tolong? Allah bukan. Apa adik ingat tanpa pertolongan Allah adik akan berada di sini. Cuba lihat diri adik, apa yang ada di badan adik tu semuanya berfungsi dengan keizinanNya. Udara yang adik sedut tu, siapa yang bagi? Adik tak perlu bayar pun kan bila nak sedut oksigen.. Adik tahu tak setiap zarah yang berada atas muka bumi ini adalah kerana kasih sayangNya. Kalau nak dihitung dengan jari nikmat dan pertolongan daripada Allah tu, memang tak terhitung dengan luasnya langit lebarnya bumi. Allah itu Maha Memberi Pertolongan. Tak ke kelakar bila adik sebut adik boleh kira dengan jari pertolongan Allah tu.

Pelajar tadi berdiam diri. Mungkin memproses segala kata-kata yang keluar dari bibir pemuda di hadapannya.

Pemuda : Adik, tidak adil jika kerana adik tidak berjaya kali ini adik menyalahkan Allah kerana terlalu banyak kurniaan yang Allah berikan pada kita, tapi pernahkah kita bersyukur? Bila kita susah kita suka merungut itu ini, tapi bila kita senang adakah kita ingat pada DIA?? Adik kena yakin dengan janji-janji Allah. Allah melihat usaha-usaha hambaNya dan bukannya melihat hasilnya. Keputusan itu bukanlah janji yang menutup ruang hidup adik semuanya, sebaliknya itulah permulaan adik untuk mencari makna sebenar kehidupan kita di dunia ini. Setiap cubaan yang diberikan Allah itu ada hikmahnya. Mungkin sekarang Allah belum kabulkan lagi, sebab Allah sudah ada perancangan yang terbaik buat adik. Percayalah!

Pelajar tadi memandang pemuda itu dengan pandangan yang penuh pengharapan. Kemudian dia menjatuhkan wajahnya. Air mata lelakinya jatuh lagi. Dia sedar betapa selama ini kurangnya syukur pada Allah. Dia mula menghitung betapa dirinya sangat jauh dengan Allah namun Allah masih membantunya dalam kehidupan sehari-hari.

Pelajar : Terima kasih abang..(bibirnya mula tersnyum)

:: Moral ::
Kita selalu merungut dan meyalahkan Allah swt bila Allah swt tidak menolong kita, walhal Allah itu Maha Penolong...Terlalu banyak pertolongan yang sudah diberikan, namun manusia yang tidak pernah menghargainya dan sedar akannya..Allah itu Maha Teliti perancanganNya dan DIA tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya..Kita wajib bersangka baik pada Allah swt..wallahuallm
_______________________________________________________________ 

"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri.Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan." 
-Hassan Al Basri- 
_______________________________________________________________

No comments:

Post a Comment

Blog ini merupakan catatan seorang musafir yang ingin menggapai redhaNya.. Yang mana baik, ambik yang mana yang buruk tok sah ambik ye. Jika ada salah dalam penulisan ini, mohon teguran sahabat-sahabat semua.