بسم الله الرحمن الرحيم
sambungan dari post yang sebelum ni Mahkamah: AUKU tidak berperlembagaan
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA, DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA (JUHAM) menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bercanggah dengan hak-hak kebebasan asasi yang dijamin di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
JUHAM dari dulu lagi sentiasa berpegang teguh kepada kebebasan mahasiswa-mahasiswi untuk bersuara di mana ia adalah hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Malangnya hak-hak ini dinafikan oleh Kerajaan UMNO/Barisan Nasional kepada mahasiswa/i yang dilihat tidak sealiran dengan pemikiran mereka.
UMNO/Barisan Nasional sedar bahawa mahasiswa-mahasiswi merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan kerajaan UMNO/Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Justeru, UMNO/Barisan Nasional cuba menyekat kuasa mahasiwa ini dengan menggunakan undang-undang kuku besi yang bernama AUKU untuk menakut-nakutkan mahasiswa daripada terus menyuarakan kebenaran. Akan tetapi, tidak ada apa-apa tindakan pun diambil ke atas pelajar-pelajar yang menyokong mereka, malah UMNO seringkali menggunakan premis kolej dan universiti untuk program-program parti. Pelaksanaan undang-undang yang “double standard” ini jelas sekali menunjukkan sikap jumudnya UMNO/Barisan Nasional dan ketidak pekaan mereka terhadap kebangkitan dan idealisme para mahasiswa-mahasiswi.
Malah, Malaysia telah menyaksikan ramai mahasiwa/i yang menjadi mangsa kerakusan UMNO/Barisan Nasional yang tanpa malu berselindung di sebalik AUKU untuk mengekang suara mahasiswa dengan menghukum mereka dengan menggantung daripada pengajian, dan ada yang sampai dibuang daripada universiti kerana menyuarakan perkara yang benar namun pahit untuk ditelan oleh UMNO/Barisan Nasional.
Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan ini dilihat sebagai suatu kemenangan kepada seluruh mahasiswa mahupun graduan universiti dari dulu hingga kini yang setia dan tanpa jemu menongkah arus dalam menghadapi kerakusan AUKU. Ini membuktikan bahawa kezaliman dan keangkuhan UMNO/Barisan Nasional akhirnya akan rebah juga dibadai keadilan dan kebenaran yang hakiki dan penangan “Students Power”. Sebagai golongan yang terpelajar dalam masyarakat, mahasiswa-mahasiswi berhak menyuarakan apa sahaja sokongan, simpati atau bangkangan mereka terhadap mana-mana parti politik di dalam mahupun di luar Negara. Menghalang hak-hak asasi ini bermakna Negara mengamalkan pemikiran ke belakang dan memalukan dalam suasana arus moden dunia tanpa sempadan ini.
Akhirnya, JUHAM mengucapkan syabas kepada empat orang pelajar UKM tersebut dan seluruh mahasiswa-mahasiswi atas kemenangan ini. JUHAM menyeru mahasiswa-mahasiswi sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Mahasiswa-mahasiswi adalah penyambung kepimpinan negara di masa akan datang. Peranan dan suara mereka tidak patut dipandang ringan atau diperkecilkan oleh Kerajaan.
AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
No comments:
Post a Comment
Blog ini merupakan catatan seorang musafir yang ingin menggapai redhaNya.. Yang mana baik, ambik yang mana yang buruk tok sah ambik ye. Jika ada salah dalam penulisan ini, mohon teguran sahabat-sahabat semua.