بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah..Hati ini digamit RINDU! Benar ar-Rahim, hatiku ini sarat penuh kerinduan pada insan tersayang yang sudah lama jauh dari pandangan mata. Aku ingin bertentang mata dengan mereka, mengucup kedua tangan ayahanda dan bonda! Kenapa hati ini seakan menjerit untuk bertemu mereka yang tersayang. Sedangkan hati ini sebelum ini sangat kental bila berjauhan berbulan lamanya dengan insan tersayang. Mengapa sekarang dada pun terasa sesak! Kebelakangan ini badan pun tidak memberi respon yang positif, selalu saja tidak sihat. Sakit kura-kura barangkali dek kerana RINDU yang teramat!
Kerinduan itu cuba ku pinggirkan sebentar dengan mengisi masa bersama sahabat-sahabat dan menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu.. Namun, hati ini tetap merasa rindu, tatkala bersendirian fikiran melayang pada kenangan lepas..kenangan bersama mereka..Ya ALLAH, rindunya hati ini..Tidak mampu untuk bicarakan betapa saratnya kerinduan, hanya yang merasainya akan memahami.
Entah mengapa, kali ini hati mudah dihambat pilu. Pantang terlihat orang tua atau anak-anak kecil, terasa wajah ibu ayah menyapa dalam hati. Mungkinkah perasaan mereka pun sama? Merindui anak perempuannya ini yang jauh di mata! Hatiku juga amat RINDU dengan keletah si kecil. Ya, sejak daripada dulu sebelum memasuki universiti, masaku banyak dihabiskan dengan menjaga insan-insan kecil yang comel ni. Tidak pernah aku merasa jemu untuk melayan kerenah dan telatah mereka. Malah kebersamaan dengan mereka membuatkan hatiku rasa tenteram dan bahagia! Ya ALLAH, rindunya pada mereka semua!
Lewat beberapa hari yang lepas, aku menerima pesanan ringkas SMS daripada adikku, bertanyakanku bila aku mahu pulang. Bukan sorang, kedua-dua adikku bertanyakan hal yang sama. Aku pun tidak pasti bilakah aku bisa bertemu dengan mereka kerana mungkin waktu aku balik mereka sudah tiada di rumah. Tidak mahu pula menjanjikan harapan kosong yang belum pasti. Itu belum ibu dan ayahku yang bertanya. Biasanya aku hanya mampu menjawab tidak pasti. Aneh kan?! Kenapa cuti sendiri pun tidak pasti..
Ya Tuhan al-Wadud, aku mohon padaMu ya Rahim. Biarkanlah rindu ini adalah keranaMu agar kerinduan ini tidak sia-sia. Kau lapangkanlah dadaku dan hati orang-orang yang ku sayangi agar hati kami tertaut dalam redhaMu walaupun berjauhan. Kau peliharalah rinduku ini agar rindu ini tidak melebihi rinduku kepadaMu dan habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam. Kau sampaikanlah pesanan salam rindu dan sayangku kepada mereka yang kusayang. Amiin ya Rabbal alamin..
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________
No comments:
Post a Comment
Blog ini merupakan catatan seorang musafir yang ingin menggapai redhaNya.. Yang mana baik, ambik yang mana yang buruk tok sah ambik ye. Jika ada salah dalam penulisan ini, mohon teguran sahabat-sahabat semua.