بسم الله الرحمن الرحيم
Bibir itu sentiasa tersenyum di hadapan orang,
Jarang sekali bibir itu masam mencuka,
Bibir itu melantunkan kata-kata enak didengar,
Jarang sekali kata-katanya itu menyinggung perasaan,
Bagiku, mungkin tidak pernah!
Dia sentiasa bersangka baik dengan orang lain,
Walaupun kadang-kadang dia teraniaya,
Namun dia meng'interpret'kan dalam bentuk positif,
Kekadang diriku yang tidak boleh terima,
Aku tak rela sahabatku diinjak-injak!
Dalam tawanya, dalam senyumnya,
Aku perasan sesuatu dalam anak matanya,
Kolam mata itu cerita sebenar tentang hatinya,
Saja ditunjukkan gagah di depan orang,
Takut kesedihan dan keresahan itu terkesan oleh orang.
Tiap kali air matanya mengalir di depanku
Aku jadi buntu dan tepu, kerana apa?
Kerana air mata yang keluar itu,
Bukti yang hatinya sarat dengan kegundahan,
Tetapi bibir itu masih lagi tersenyum padaku,
Sambil mengatakan dirinya tiada apa-apa.
Habis apa makna air mata itu sahabatku?
Ya Allah,
Aku tidak mahu melihat mata itu menangis,
Kerana hatiku sendiri sakit!
Aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa,
Aku hanya bisa menjadi pendengar setia!
Sekarang aku lebih bijak mentafsir makna senyumannya!
Ya Rahim,
Aku memohon padaMu yang Maha Penyayang,
Lenyapkanlah rasa dukacita dalam hati sahabatku,
Tanamkanlah dalam hatinya bunga-bunga kebahagiaan,
Cekalkanlah hatinya dalam menghadapi hari-hari yang mendatang,
Kerana dia hanya punya Engkau untuk melenyap kedukaanya,
Peliharalah sahabatku dari kata-kata nista yang boleh mencarik isi hatinya..
Permudahkanlah ya Allah..
permudahkanlah urusan sahabatku..
_______________________________________________________________
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam
_______________________________________________________________