30 Dec 2011

..Awak dan Saya Berbeza..

2 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


Awak tahu tak yang kita berdua berbeza? Awak lelaki saya perempuan, yang ni memang sudah jelas perbezaannya. Awak tahu tak hati seorang perempuan tu sangat berbeza dengan seorang lelaki.. Awak mana tahu. Saya perempuan, jadi saya tahula dan yang menciptakan kita lagi tahu. Sebab tu DIA memperingatkan kita dalam kalamNYA supaya kita berdua menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan kita. Kalau awak tak percaya cuba awak tengok surah an-Nur, ayat 30.

‘Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’ 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka serta janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya’ 

Pasti ada sebab DIA menyuruh kita buat macam tu kan?! Awak selalu cakap yang kita bukannya buat apa-apa, cuma mesej tanya khabar je. Tapi awak tahu tak mungkin awak menganggap ianya biasa, tapi tidak kami, kaum Hawa. Sebab itu saya kata tadi hati kami berbeza. Hati kami lembut, mudah terusik dengan kebaikan and ke'caringan' awak-awak semua. Jadi kita berdua harus ada jarak walaupun kita sudah bersahabat lamanya.

Saya tahu kita bukannya ada apa-apa pun, tapi awak tahu tak ada satu makhluk ni suke sangat kacau orang macam kita ni. Nak-nak kalau kita berdua-duaan. Pokoknya mesti dia akan join kita sekali. Dan makhluk tu sangat halus taktiknya, dia sudah berjaya menundukkan ahli-ahli agama ke dalam perangkapnya, apatah lagi kita. Awak ingat tak kisah Adam dan Hawa tu. Cukuplah kisah itu menjadi pengajaran buat kita yang manusia ni tidak sempurna. Yang sempurna hanyalah Allah. Kita manusia ini tidak sedar kadang-kadang nafsu mendahului iman kita. Saya tak nak awak dan saya jadi macam tu. Ingat tak Allah berfirman dalam surah al-Naa’ziaat, ayat 40-41

‘Sesiapa yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya.  Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.’ 


Awak mesti nak masuk syurga jugak kan?!Hmm.. Mesti awak pelik kan kenapa saya tiba-tiba jadi camni. Mesti awak ingat saya masuk ajaran yang bukan-bukan. Percayalah saya bukannya masuk ajaran yang bukan-bukan, tapi saya semakin memahami apa yang disyariatkan oleh Islam. Fuh!bukan saya nak jadi ustazah. Saya tak layak pun nak jadi ustazah, tapi saya inginkan penghijrahan ke arah lebih baik dan saya berharap sangat awak faham. Macamana saya mahu berubah sedangkan dalam masa yang sama saya berhubungan dengan awak.

Kita berdua adalah berbeza. Itu adalah satu hakikat yang harus kita diterima. Saya mahu menyimpan segala rajuk tawa saya hanya untuk suami saya kelak dan bukannya untuk seorang lelaki yang hadir hanya untuk memenuhi episod kehidupan saya atau untuk menjadi kawan rapat semata. Kalau awak nak kahwin, awak mahukah kalau isteri awak itu pernah berhubung rapat dengan lelaki lain? Mesti awak tak mahu kan? Macam itulah saya ingin jaga diri saya. Jadi sekarang kita tak payah berhubung macam dulu-dulu lagi.

"Jangan kalian sentuh seseorang wanita walaupun hatinya."
(Imam As-Syafi'e)

p/s: ini adalah tidak lain tidak bukan peringatan untuk diriku sendiri..ampunkan aku Ya Allah untuk perlakuan yang tidak terjaga.(Musafir.Cinta.Ilahi)

SUPPORT ME BY LIKE PHOTO CONTEST NI DI FB..
TEKAN LINK KAT BAWAH NI & THEN LIKE. TQVM ^_^
( https://www.facebook.com/photo.php?fbid=667801443244088&amp%3Bset=a.666766270014272.1073741833.132493466774891 )
<valid until 15 nov 2103>

Photobucket_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

27 Dec 2011

Sukarnya Untuk Melepaskan Kau Pergi

9 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 

Aku ingin kau tahu, bukan senang aku mengambil keputusan ini. Bahawa aku dan kau tidak bisa bersama lagi. Jangan kau tangisi. Bukan salahmu perkara ini terjadi, cuma aku inginkan yang terbaik buat diriku. Kau tahu sejak kehadiranmu dalam hidupku, hatiku selalu lekat denganmu. Aku selalu ingin bersamamu dan terkadang aku terlupa akan tugasku sebagai hamba Allah yang patut taat pada perintahNya.


Terlalu banyak masa aku luangkan bersamamu tanpa aku sedar aku sudah membelakangkan Tuhanku. Bukan aku tidak sayang lagi padamu, namun aku takut cintaku pada pemilik hatiku makin berkurang bila aku terus bersamamu. Maafkanlah aku sayangku. Aku tidak bisa memilihmu kerana aku tidak mahu mengurangkan rasa cintaku untuk yang menciptakan aku.

Aku tahu kau pasti berduka dengan keputusanku. Tapi jika kau mahu melihat aku senang, kau perlu pergi jauh dariku. Itulah yang terbaik buat diriku. Kenangan yang lepas kau simpan sajalah dalam kotak memorimu. Aku tidak memaksamu untuk membuangnya. Kerana aku tahu betapa pahitnya perpisahan. Sungguh, aku terlalu menyayangi dirimu.

Ah, sukarnya melepaskan kau pergi! Sebelum ini, sudah beberapa kali aku mencuba namun aku tidak kuat kerana bagiku kau adalah segala-galanya yang selalu menjadi teman berkongsi segala manis dan pahit hidupku. Tapi kali ini aku tekad, setelah aku istikharah beberapa kali, alhamdulillah aku mengambil keputusan ini. Dengan berpisah denganmu hatiku akan kembali menjadi tenang dan tiada apa yang dapat mengganggu cintaku dengan Tuhan yang selalu mencintaiku.

Sekali lagi maafkan aku. Tidak ada secalit niat pun dihati untuk aku menyakiti hatimu. Tapi kau harus faham. Kita tidak boleh bersama lagi. Buat apa kita bersama, jika aku semakin lalai terhadap Tuhanku Rabbul alamin.. Kau jangan buat-buat kurang faham kerana kau jauh lebih mengerti apa yang aku maksudkan. Aku tak perlu risau keadaanmu.. kerana aku yakin peminatmu ramai. Kau tidak akan kesunyian selepas ditinggalkan aku. Aku yakin itu!!

Aku tahu kebersamaan kita ada juga mendatangkan positif. Tapi banyak yang negatif dari yang positif. Aku takut aku tidak mampu untuk mengcover yang negatif tu dengan yang positif disebabkan terlalu banyak kelaghaan. Aku sudah menuliskan surat ini untukmu, jadi waktu aku mahu tinggalkanmu, janganlah kau menyuruhku membuat pilihan kenapa harus aku tinggalkan dirimu. Kerana suratku ini adalah segala-galanya. Tidak ada reason lain! Biarpun kau memancingku dengan mengatakan akan ada yang merinduiku, namun aku tetap dengan keputusanku! Muktamad!

Akhir kata dariku buatmu yang selalu mendengar luahan rasa hatiku, semoga kau sentiasa berjumpa orang baik-baik supaya dirimu tidak disalahgunakan.

"Selamat tinggal 'FACEBOOK' ku........."

p/s:-cerita ni tiada kaitan dengan sesiapa, sama ada yg hidup atau yg sudah mati..ia hanyalah olahan penulis dan bergantung kepada pembaca yg melihat maksud cerita ini bagaima..sekian.^^

Photobucket_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

26 Dec 2011

Real Muslimat : Dia Mencintai Allah dan Allah Mencintai Dirinya

3 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


Siapa itu 'Real Muslimat'?? Pasti orangnya hebat bukan, kalau tidak takkan dinamakan ia dengan 'real muslimat'. Muslimat biasanya disinonimkan dengan perkataan lemah, kuat emosi, hati sensitif dan lain-lain lagi la. Kalau boleh nak juga digelar makhluk air mata muslimat ni. Dan betullah kata orang 'wanita boleh menangis tanpa sebab yang jelas'. Saya pasti ramai menyokong statement itu. Jadi apa yang 'real' sangat dengan muslimat ni..??

Kalau kita lihat dunia sekarang, ramai muslimat turut turun ke gelanggang dalam memperjuangkan agama Allah. Tetapi sebenarnya sejak zaman Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam dahulu lagi, para muslimat ini sudah pun turut bersama barisan kaum muslimin berjihad. Malah kalau kita singkapi perjalanan sirah tentang muslimat-muslimat dulu, betapa mantapnya akidah mereka, betapa tingginya semangat untuk berjuang di jalan Allah, jauh nak dibandingkan dengan kita sekarang. Jadi mana 'real'nya seorang muslimat sekarang?

Sirah melakarkan kehebatan seorang bidadari besi yang meluncur laju ke arah barisan musuh, membunuh seorang demi seorang dengan menggunakan tombaknya, lalu meluncur pula ke arah barisan musuh di bahagian lainnya pula lalu mencederakan dan membunuh musuh yang lain. Pertempurannya secara solo melawan musuh-musuh tanpa rasa gentar walaupun bersendirian. Inilah serikandi medan jihad, Khaulah binti Al-Azwar. Seorang wanita yang sangat berani, yang membuat pasukan Muslimin kagum dengan kepantasannya menyerang tentera Romawi. Mampukah kita wanita Islam menjadi sepertinya?

Catatan sirah banyak memaparkan kehebatan muslimat. Siapa kata muslimat ni golongan lemah. Ramai lagi wanita-wanita yang hebat seperti Asiah(isteri Firaun) yang begitu sabar dan cekal dalam menghadapi suaminya yang merupakan seorang yang zalim dan tidak mengakui ke Esaan Allah. Manakala Sumaiyyah yang menerima pelbagai jenis seksaan yang akhirnya menjadi syahidah kerana mempertahankan agama Islam yang suci. Lihat pula ketabahan isteri Nabi Ibrahim alaihi salam yang mana diri dan anaknya ditinggalkan oleh suaminya di padang pasir yang tidak mempunyai apa-apa. Namun ketaatannya terserlah apabila dia redha kerana itu merupakan perintah Allah. Banyak lagi kisah-kisah wanita dahulu yang boleh kita ambil sebagai peniup semangat.

Bagaimana pula dengan muslimat sekarang? Benarkah ada kenyataan yang mengatakan muslimat sekarang manja, tidak berani bersuara dan tidak terkehadapan. Saya tertarik dengan kata-kata Pengerusi HEWI PMIUTM yang mengatakan baginya real muslimat itu adalah 'dia mencintai Allah dan Allah mencintai dirinya'. Itu sebenarnya adalah kunci bagi semua muslimat. Dalam setiap tindakan melambangkan kecintaannya pada Allah dan Rasulnya. Katanya lagi muslimat ini akan bercakap apabila dirasakan perlu. Sudah menjadi fitrah bahawa muslimat ini dihadangi dengan perasaan malu. Cuba mereka membuang perasaan itu sedikit, maka mereka akan menjadi tidak malu sedikit demi sedikit dan ini yang dikhuatirkan akan menghilangkan terus perasaan malu tersebut.

Muslimat ada alasan tersendiri kenapa mereka harus begitu. Meski alasan itu dipandang enteng oleh sesetengah pihak, namun saya rasa biarlah.. yang penting Allah lebih mengetahu isi hati mereka. Saya amat mengagumi wanita-wanita yang berani kehadapan dan lantang meninggikan kalamullah. Ingin sekali menjadi seperti mereka, bukan mengejar popular tetapi sebagai wakil muslimat untuk menarik wanita-wanita lain ke landasan perjuangan yang benar. Tetapi bukan semua muslimat begitu. Kalau ada yang mengharapkan semua muslimat menjadi begitu, mungkin perkiraan mereka tersilap.
Jadikanlah aku orang yang mencintaiMU..
Realnya seorang muslimat itu bukannya pada kata-kata yang dituturkan di khalayak ramai, bukannya pada tulisannya yang indah di alam maya, bukannya pada raut wajah penampilan.. Tetapi realnya muslimat itu, dia menyandarkan pergantungan kepada Allah Subhanahu Wa Taala, tika bersendirian dia berdialog dengan Tuhannya, tika berhadapan dengan khalayak ramai dia memohon istighfar agar dirinya tidak menjadi fitnah kepada orang lain, tika menghadiri majlis ilmu dia berusaha fokus dan mengambil input sebanyak mungkin. Inilah real muslimat. Mereka tidak memandang dan tidak dipandang.

meskipun diriku jauh dari menjadi seorang 'real muslimat', namun di hatiku aku sentiasa berdoa pada Allah, agar Allah memberikanku kekuatan dan menitipkan semangat serikandi2 dahulu ke dalam diriku. Mungkin aku tidak sehebat muslimat2 yang lain di medan dakwah, tapi aku sentiasa mahu dan ingin membaiki diriku ke arah yang lebih baik dan bersama-sama menjadi pendokong untuk gerak kerja ISLAM! Walau aku tampak lemah, namun mereka tidak tahu betapa kentalnya hatiku ini untuk bersama dalam perjuangan ISLAM! Takbirr.. 
-musafir.cinta.Ilahi-


Photobucket_______________________________________________________________
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

23 Dec 2011

PMR : TAHNIAH ADIK!

0 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


Alhamdulillah hari ni result PMR dah keluar. Mungkin sekarang ada yang masih tersenyum melihat keputusan cemerlang yang diperolehi. Namun yang kurang cemerlang janganlah bersedih. Cemerlang atau tidak dalam PMR ini bukanlah pengakhiran segalanya. Kerana langkah adik-adik semua baru bermula. Yang penting adik-adik sudah berusaha semaksima yang mungkin. Ingat yang satu ni bahawa Allah melihat usaha hambaNya bukan hasilnya. Sejauh mana kita berusaha sebelum PMR itu adalah perkara yang menjadi nilaian Allah.

Jangan bersedih jika kali ini adik-adik menemui kegagalan tetapi jadikan kegagalan itu sebagai satu catalyst untuk adik-adik bangkit semula menawan ilmu di masa akan datang. Pada yang mendapat keputusan yang memberangsangkan pula jangan pernah mendabik dada kerana itu semua adalah kurniaan Allah. Boleh jadi ia juga merupakan satu ujian untuk adik-adik sama ada adik bersyukur atau tidak dengan kurniaan Allah tersebut. Lantas rebahkanlah dahi adik-adik bersujud syukur kerana Allah sudah memakbulkan doa adik-adik. (Haa..dah sujud syukur belum??)

Alhamdulillah, tadi saya mendapat mesej daripada adik perempuan saya yang mengatakan dia mendapat 8A. Saya tumpang gembira buatnya dan saya tahu kedua orang tua saya mestilah lagi gembira. Mabruk adik! Tapi kakak harap sangat adik tak leka dengan kejayaan yang adik dapat tu. Kerana perjalanan hidup adik masih panjang dan PMR bukanlah penentu kejayaan di masa hadapan. Kakak sangat berharap adik kakak seorang ni bukan saja cemerlang dalam akademik tetapi cemerlang juga dalam menjadi muslimah yang solehah yang taat pada agama. 4flat SOLEHAH!!

Setakat ini saja dari saya. Ingat, jika kejayaan sekarang bukan milik kita yakinlah yang kejayaan itu bakal kita genggam. Mintalah dengan Allah takdir terbaik disisiNya. Dengan itu kalian akan memandang baik segala apa yang diberikan olehNya. Wallahuallam..

_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

22 Dec 2011

Siapa Dia Putera Agamaku...??

5 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 

cari putera agama, bukan putera raja (:

Tertarik dengan kata-kata dalam lukisan Rusydee Artz nie, "usah kau kejar Putera Raja, tapi cari dan dambalah Putera Agama". Fitrah manusia sentiasa inginkan yang terbaik dalam hidupnya. Kalau belajar nak cemerlang, kalau bermain nak jadi juara, kalau nak memilih pasangan pun mesti nak yang kalau boleh macam putera raja(over demand nie).. Tapi jangan lupa yang terbaik di depan mata kita tidak semestinya terbaik dalam pandangan Allah. Jadi yang mana satu nak?

Dalam perkiraan umur yang semakin bertambah ini, perasaan naluri akan terdetik, siapakah yang akan menjadi pendampingku kelak? Hensemkah dia? Baikkah dia? Kayakah dia? Adakah kita mencari ciri-ciri tersebut dalam diri seorang yang lelaki yang bakal halal untuk kita? Bolehkah kita bahagia hanya dengan ciri-ciri itu saja?? Kalau dia baik pun belum tentu lagi dia boleh bahagiakan kita. Jadi carilah putera yang bukan sekadar ada agama saja tapi beramal dengan agama itu, iaitu agama Islam.

"Siapalah saya nak orang-orang alim, warak! Saya bukannya baik pun." Silap jangkaan kalau ada yang berkata demikian. Saya tanya siapa kita nak menentukan kita ni baik atau jahat. Kalau begitu adakah Asiah, isteri Firaun tidak cukup solehah kerana itu dia ditakdirkan hidup bersama Firaun yang kejam lagi zalim itu? Sudah tentu tidak bukan. Percaturan Allah itu amat hebat. Jadi jangan mengukur diri sendiri jahat sebelum kita mencuba untuk menjadi yang terbaik di hadapanNya.

Saya pernah disoal beberapa kali bagaimanakah putera idamanmu. Setiap kali itu saya berasa takut untuk memberi jawapan, berhakkah saya memilih? Tetapi ada seseorang yang menjentik hati saya berkata, "Kamu berhak, kerana kamu memilihnya bukan saja untuk menjadi suamimu, tapi sebagai imam solatmu, sebagai pengemudi pelayaran hidupmu, sebagai pemimpin anak-anakmu, penerang cahaya untuk keluargamu.." Saya sebenarnya agak tergamam! Begitu saya tidak layak untuk mendapatkan seperti itu. Sungguh mulia ciri-ciri lelaki tersebut. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh mengharapkan jodoh yang baik. Berdoalah padaNya dan sambil itu perbaikilah diri menuju solehah.

Jangan bersedih jika kamu mencintai seseorang, tetapi dia ditakdirkan dengan orang lain. Bukan kerana kamu tidak cukup baik untuk dirinya, tapi Allah mahu memberikan kamu orang yang lebih baik darinya. Allah sedang merencanakan yang terbaik untuk kamu. Lebih baik kamu menjejaki cinta Allah dahulu sebelum menjejaki cinta anak Adam. Kerana bila cinta kamu larut bersama Allah, cinta lain akan menyusul.

nota penulis :
saya mungkin akan menikah dengan yang orang tidak saya cinta, tapi saya akan mencintai orang yang saya nikahi..


Photobucket_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

15 Dec 2011

..Saya Sudah Bertunang..

9 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم



Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! " Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

............ ......... ......... .........

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "

"Ya Allah, tenangnya... "

"Moga Allah memberkatinya. ..."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar. .." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

******************
Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Sumber : http://shahir-annadwi.blogspot.com/

Photobucket

  ________________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam ________________________________________________________________

11 Dec 2011

Kegagahan Wanita vs Kelembutan Lelaki

6 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


Alhamdulillah, pada hari jumaat bersamaan 13 muharam, saya sempat menghadiri talk tentang 'Kegagahan Wanita vs Kelembutan Lelaki anjuran bersama Pusat Islam UTM,PMIUTM,RPIUTM dan JKRIS yang disampaikan oleh Ustazah Dr Siti Norlina binti Muhammad iaitu salah seorang pensayarah Fakulti Tamadun Islam. Di kesempatan itu saya sempat mencatat beberapa point yang dibicarakan ketika talk tersebut dan mengulasnya sedikit. Mungkin ianya boleh disharing pada yang tidak berkesempatan untuk menghadiri talk berkenaan.

Kegagahan Wanita??  Kelembutan Lelaki???

Wanita = kuat/gagah?
Lelaki = lembut??

errr..=.=!

Macam tak kena kan? Sekali baca tajuk ni boleh mengelirukan kita. Adakah tajuk ini menyarankan supaya fitrah wanita dan lelaki itu bertukar. Yang wanita dari lembut bertukar menjadi gagah atau kuat dan yang lelaki dari kuat bertukar menjadi lembut? Sudah tentu tidak sama sekali! Jangan salah faham! Sebenarnya bagaimana yang dikatakan sebagai wanita gagah dan lelaki lembut? Jom kita tengok...

Kekuatan/kegagahan Wanita

Kekuatan wanita terbahagi kepada dua iaitu kekuatannya untuk orang lain dan kekuatannya untuk diri sendiri. Seperti yang kita sedia maklum wanita ini adalah makhluk yang sangat kuat emosinya dan spiritualnya. Kekuatan yang Allah beri itu patut diraikan oleh semua wanita. Jangan sangkakan itu adalah kelemahan kerana sebenarnya dari situlah kalian membina kekuatan. Sebagai contoh seorang ibu. Kalau seorang ibu tidak kuat emosi dan spritualnya bagaimana dia sanggup bersabar untuk menggalas anak yang di dalam rahimnya selama 9 bulan? Sesudah itu menahan sakit yang teramat ketika melahirkan si anak.

Doa seorang ibu juga tiada hijab. Ia merupakan salah satu kekuatan spiritual dari seorang ibu untuk anak-anak. Justeru itu ibu-ibu jangan pernah melontar kata-kata yang kurang baik terhadap anak-anak kerana kemungkinan kata-kata itu diangkat sebagai doa. Contoh yang lain sebagai seorang isteri. Seorang isteri boleh jadi sumber kekuatan dan inspirasi pada suaminya. Percaya atau tidak wanita boleh hidup tanpa suami sehingga saat akhirnya. Tapi lelaki jarang boleh berbuat demikian kerana itulah lelaki yang kematian isterinya tiada tempoh yang dihadkan baginya untuk menikah yang lain. Bukan bermakna dia tidak mencintai isterinya yang dulu tetapi fitrahnya memang memerlukan seorang suri untuk mengurus kehidupannya. Jangan marah ye, wanita semua..

Kekuatan wanita itu juga untuk dirinya sendiri. Biasanya wanita ini dia akan berusaha untuk lebih dekat dengan Allah bila musibah melanda dirinya. Kadang-kadang ada yang menyalahkan emosi wanita yang mudah sangat tersentuh, tetapi tidak pernah terfikirkah kita kenapa Allah menjadikannya begitu? Wanita banyak menahan rasa sakit dan kadang-kadang di luar kemampuannya. Jadi biarlah air matanya mengalir jika itu yang dapat menghapuskan segala gundah di hatinya.

Kelembutan Lelaki

Lembut disini bukan bermaksud lelaki itu harus menukar fitrahnya kepada sifat seorang perempuan. Malahan kelembutan menyerupai seorang perempuan itu ditegah dalam Islam. Lelaki yang lemah lembut di sini bermaksud bagaimana dia berhadapan dengan insan yang sangat lemah daripadanya. Begitu juga kelembutannya terhadap isteri, anak perempuan dan saudara perempuan. Seperti yang kita tahu wanita ini bukan seperti lelaki, jadi seorang lelaki tidaklah boleh melayan kaum hawa sama dengan dia layan kawan-kawan lelakinya. Jika seorang ayah, dia harus mendidik anak perempuan berbeza daripada anaknya yang lelaki kerana naluri seorang perempuan itu sememangnya lembut dan mudah terguris. “..dan anak laki-laki tidaklah sama dengan anak perempuan” (ali-Imran: 36)

Jika seorang suami pula haruslah bersikap lemah lembut terhadap isterinya. Jika ada yang salah dalam perlakuan isterinya tegurlah dengan hikmah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam. Bukannya bertindak melulu menurut kata nafsu. Tetapi jangan pula terlalu lembut hingga meletakkan diri anda ke tempat dayus.
Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata :"Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS?,berkata nabi:“IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) (Riwayat At-Tabrani)
Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan   (terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.~Imam Ibn Qayyim
Mungkin sampai sini saja perkongsiannya. Sebenarnya banyak lagi jika mahu di catat sini. Saya percaya sesiapa yang hadir waktu talk tersebut pastinya semua menitiskan air mata melihat video yang ditayangkan. Video berkenaan pengorbanan ibu dalam membesarkan kita. Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibunya. Berbaktilah kepada kedua ibu bapa dan hormatilah mereka. Jangan sampai segulung ijazah yang kalian pegang dan pangkat yang tinggi membutakan mata sehingga kalian malu untuk mengaku orang kampung itu adalah orang tua kalian!

i Love both of You, ma dan ayah!! saya bangga jadi anak ma dan ayah! saya suka saya anak orang kampung!
~musafir.cinta.Ilahi~


Photobucket_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

4 Dec 2011

♥ RINDU ♥

0 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


Ya Allah..Hati ini digamit RINDU! Benar ar-Rahim, hatiku ini sarat penuh kerinduan pada insan tersayang yang sudah lama jauh dari pandangan mata. Aku ingin bertentang mata dengan mereka, mengucup kedua tangan ayahanda dan bonda! Kenapa hati ini seakan menjerit untuk bertemu mereka yang tersayang. Sedangkan hati ini sebelum ini sangat kental bila berjauhan berbulan lamanya dengan insan tersayang. Mengapa sekarang dada pun terasa sesak! Kebelakangan ini badan pun tidak memberi respon yang positif, selalu saja tidak sihat. Sakit kura-kura barangkali dek kerana RINDU yang teramat!

Kerinduan itu cuba ku pinggirkan sebentar dengan mengisi masa bersama sahabat-sahabat dan menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu.. Namun, hati ini tetap merasa rindu, tatkala bersendirian fikiran melayang pada kenangan lepas..kenangan bersama mereka..Ya ALLAH, rindunya hati ini..Tidak mampu untuk bicarakan betapa saratnya kerinduan, hanya yang merasainya akan memahami.

Entah mengapa, kali ini hati mudah dihambat pilu. Pantang terlihat orang tua atau anak-anak kecil, terasa wajah ibu ayah menyapa dalam hati. Mungkinkah perasaan mereka pun sama? Merindui anak perempuannya ini yang jauh di mata! Hatiku juga amat RINDU dengan keletah si kecil. Ya, sejak daripada dulu sebelum memasuki universiti, masaku banyak dihabiskan dengan menjaga insan-insan kecil yang comel ni. Tidak pernah aku merasa jemu untuk melayan kerenah dan telatah mereka. Malah kebersamaan dengan mereka membuatkan hatiku rasa tenteram dan bahagia! Ya ALLAH, rindunya pada mereka semua!

Lewat beberapa hari yang lepas, aku menerima pesanan ringkas SMS daripada adikku, bertanyakanku bila aku mahu pulang. Bukan sorang, kedua-dua adikku bertanyakan hal yang sama. Aku pun tidak pasti bilakah aku bisa bertemu dengan mereka kerana mungkin waktu aku balik mereka sudah tiada di rumah. Tidak mahu pula menjanjikan harapan kosong yang belum pasti. Itu belum ibu dan ayahku yang bertanya. Biasanya aku hanya mampu menjawab tidak pasti. Aneh kan?! Kenapa cuti sendiri pun tidak pasti..


Ya Tuhan al-Wadud, aku mohon padaMu ya Rahim. Biarkanlah rindu ini adalah keranaMu agar kerinduan ini tidak sia-sia. Kau lapangkanlah dadaku dan hati orang-orang yang ku sayangi agar hati kami tertaut dalam redhaMu walaupun berjauhan. Kau peliharalah rinduku ini agar rindu ini tidak melebihi rinduku kepadaMu dan habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam. Kau sampaikanlah pesanan salam rindu dan sayangku kepada mereka yang kusayang. Amiin ya Rabbal alamin..

Photobucket_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________

3 Dec 2011

♥ Pergilah Cinta ♥

0 ore hok komen

بسم الله الرحمن الرحيم 


Pergilah cinta..
Hadirnya cinta hanya memberi gundah
Mengundang jiwa menjadi gelisah
Membuat hati yang tenang jadi tak tenteram
Membuahkan penyakit dalam diam
Menjadikan kita sakit dalam sihat

Pergilah cinta..
Walau terkadang hati berbunga riang
Namun nestapanya tetap ada
Menyesakkan dada dengan pelbagai gambaran
Hati menjadi sakit dek penangan cinta
Kenapakah mesti aku jatuh cinta?

Pergilah cinta..
Tidak mahu hati ini diasak dengan cinta
Cinta yang belum pernah pasti kesudahannya
Hati ini tidak menginginkannya
Jangan diketuk hati kosong itu dengan cinta
Kerana cinta boleh membuat hati merana!

Pergilah cinta..
Walaupun cinta itu fitrah
Tidak mahu hati ini dikotorkan dengan cinta
Cinta yang hanya dipenuhi nafsu dan angan-angan
Yang tidak tahu kemana hala
Yang hati ini mahu cinta daripadaNya..

Pergilah cinta..
Hati ini belum bersedia untuk menerima cinta
Jangan pernah sesekali diketuk hati ini
Kerana hati ini tidak rela untuk diisi oleh cinta
Hati ini mahu diisi dengan cahaya cinta yang hakiki
Yang datang daripada kalam-kalam suci daripadaNya..

Pergilah cinta..
Pergilah cinta manusia..
Pergilah cinta manusia adam..
Pergilah cinta manusia hawa..
Bukan saatnya lagi untuk kamu datang
Kerana tidak mahu kelazatan cintaku bersamaNya terhapus!

Ya Allah, 
jangan pernah kau izinkan hati ini 
mencintai sesiapa pun..
Sebelum tiba kadar waktunya..
Dan jangan pernah kau
Jeratkan kasih anak Adam
Terhadap diriku kiranya belum tiba masanya..
Aku ingin menuntut cinta yang suci dariMu Tuhanku..
Sesudah itu, aku menerima sesiapa saja 
Yang Kau ciptakan untukku..

_______________________________________________________________ 
Selawat dan salam pada Habibullah Rasulullah Sallallahu alaihi Wassalam _______________________________________________________________